Hari Komuniti Pintar Kemaman

22 - 24 Julai 2016 | Aktiviti Terkini

Masa : 9.00am – 6.00pm

Pada 22 - 24 Julai 2016, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pejabat Daerah Dan Tanah Kemaman (PDTK) telah menganjurkan acara Hari Komuniti Pintar di Kemaman selama tiga hari bermula dari 22 Julai lalu. Ini bertujuan untuk mempromosikan inisiatif Komuniti Pintar dalam membangunkan dan memanfaatkan ekosistem ICT dalam kalangan komuniti setempat.

Inisiatif yang telah diperkenalkan sejak awal 2015 itu bermatlamat untuk meningkatkan taraf kehidupan dan sosioekonomi komuniti tempatan serta membangunkan kandungan tempatan melalui platform teknologi dan maklumat (ICT) dan capaian kepada informasi yang lebih pantas lagi berkesan di samping merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Inisiatif terbabit telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ianya disenaraikan sebagai salah satu antara lima daripada 27 projek yang mendapat undian tertinggi di bawah kategori Komunikasi dan Infrastruktur Maklumat pada Sidang Kemuncak Dunia Masyarakat Bermaklumat (WSIS 2016). Malah ianya akan disenaraikan di dalam penerbitan digital ITU iaitu stocktaking WSIS sebagai kisah kejayaan 2016. Acara itu turut mengetengahkan teras-teras utama di bawah inisiatif tersebut antaranya Sistem Pengurusan Banjir (FMS) yang memanfaatkan penggunaan ICT dalam mempertingkatkan lagi pengurusan banjir dan bencana di Kemaman serta Pusat Inovasi Kemaman (KIC) yang memberi kemudahan kepada komuniti untuk memperkembangkan kreativiti, inovasi dan ilmu keusahawanan.

Selain itu, para penduduk setempat berpeluang mengunjungi gerai-gerai pameran yang disertai oleh pelbagai pihak seperti syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan, badan-badan forum di bawah MCMC dan gerai jualan pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Kemaman.

Perasmian Hari Komuniti Pintar Kemaman tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan disaksikan oleh Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan Pegawai Daerah Kemaman, Encik Rosman Roslan selaku peneraju utama tempatan Komuniti Pintar Kemaman.

Antara aktiviti yang diadakan pada hari tersebut adalah seperti Program PI1M Explorace Daerah Kemaman, Pertandingan Dekorasi Kek serta Pameran Booth daripada Syarikat Penyediaan Makanan.

Hari Komuniti Pintar Kemaman | 22 - 24 Julai 2016